Usaha budayakan amalan KKP perlu kerjasama semua pihak

KUALA LUMPUR: Usaha merakyatkan amalan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan rakyat Malaysia bukan satu perkara mudah, malah memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak dari semasa ke semasa.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata usaha membudayakan amalan KKP perlu dipupuk sejak di bangku sekolah hingga ke peringkat universiti bagi memastikan pelajar terbabit sentiasa mementingkan amalan keselamatan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Secara jujurnya bukan mudah untuk melaksanakan program sebegini kerana NIOSH secara bersendirian tidak mampu untuk membabitkan semua pihak tanpa pertolongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

“Sebagai contoh, kita memerlukan sokongan pelbagai pihak terutama Kementerian Pendidikan untuk mendidik lebih 10,000 sekolah dan lima juta pelajar serta berpuluh institusi pengajian tinggi (IPT) dengan ribuan mahasiswa di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata usaha berkenaan kini sudah mula menampakkan hasil positif apabila banyak pihak menunjukkan minat untuk melaksanakan sistem KKP yang baik dan menjadikannya budaya di organisasi masing-masing, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Inisiatif yang diambil NIOSH untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di sekolah misalnya mendapat perhatian ramai pihak ketika saya berkongsi pengalaman di Persidangan Tahunan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong pada tahun lalu.

“Malah, ada di antara perwakilan negara luar yang melahirkan kekaguman mereka apabila mengetahui program ‘KKP di Sekolah’ turut membabitkan sekolah rendah termasuk di luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan ia menjadi tempat yang selamat dan sihat kepada semua kakitangan, pelajar dan pelawat di IPT berkenaan.

“Dari sudut perundangan, sebagai sebuah tempat kerja, IPT adalah tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

“Tujuan akta itu adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dan orang lain yang berada di tempat kerja selain mengadakan persekitaran kerja yang sesuai dengan kehendak psikologi dan fisiologi mereka,” katanya.

Beliau berkata, IPT juga tidak terkecuali kerana ia juga adalah tempat kerja bagi pihak pentadbiran, pensyarah, penyelidik, tutor, kakitangan sokongan di pejabat pentadbiran dan fakulti serta pihak pengurusan dan kakitangan kolej kediaman.

Katanya, kampus IPT dan kolej kediaman juga terdedah kepada pelbagai risiko termasuk kebakaran dan pihak pentadbiran dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pihak pada sepanjang masa.

“Memandangkan besarnya tanggungjawab pihak pengurusan Kolej Kediaman IPT ini, maka saya ingin menyeru agar sistem pengurusan KKP yang lebih cekap dilaksanakan dalam usaha mencegah sebarang kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak termasuk pengurusan IPT juga harus menyokong Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang bertujuan untuk melindungi hak pekerja dalam persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/539018/usaha-budayakan-amalan-kkp-perlu-kerjasama-semua-pihak

  • Hits: 1009

Kampus INDUK


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)
Universiti Sains Malaysia,
11800 Pulau Pinang


No Tel : 04-6534078 
No Fax : 04-6534405 
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kampus kejuruteraan


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)
Universiti Sains Malaysia, 14300 Nibong Tebal SPS, Pulau Pinang

No Tel : 04-5995523
No Fax : 04-5942569
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kampus kesihatan


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)

Pejabat Pengarah Kampus, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

No Tel : 09-7671016

No Fax : 09-7671017
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Pautan Luar


skmm jkjr sirim uem enviro perkeso

tenaga lpta nuklear niosh cidb 

mkn B OMBA BIO jpam MBKKP

All Rights Reserved UKKP Universiti Sains Malaysia © 2024  |  icon admin