Komitmen keselamatan pekerja pelaburan jangka panjang
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun keuntungan adalah agenda utama setiap organisasi, namun komitmen majikan terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja adalah pelaburan jangka panjang.
Beliau berkata, pihak pengurusan perlu komited melabur dalam aspek keselamatan dan bersedia mengambil langkah pencegahan kemalangan secara lebih serius serta meningkatkan motivasi dan perubahan sikap pekerja ke arah budaya kerja selamat dan sihat.
"Kita tidak harus melihat soal gaji pokok sahaja, yang penting kebajikan pekerja, keluarga dan persekitaran mereka dapat diberikan tumpuan selain aspek keselamatan dan kesihatan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) ke-20, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Pengerusi Niosh, Tan Sri Lee Lam Thye.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dalam usaha menuju negara maju, kerajaan melaksanakan pendekatan berterusan terhadap pembentukan budaya persekitaran kerja yang selamat dan sihat antaranya melalui pematuhan terhadap AKta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, penguatkuasaan berterusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan inisiatif latihan oleh Niosh.
Bagi memantapkan lagi pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini, kerajaan menggubal Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan 2016-2020 yang mengenal pasti beberapa objektif termasuk pengurangan kadar kematian kepada 4.36 bagi setiap 100,000 pekerja dan pengurangan kadar kemalangan kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja, katanya.
"Pengurangan kadar kemalangan ini boleh direalisasikan dengan kerjasama, komitmen dan dedikasi semua pihak. Kerjasama yang jitu ini perlu ditambah baik demi kepentingan dan manfaat tenaga kerja serta menjadi pemangkin kemajuan ekonomi negara," katanya.
Mengenai Niosh, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi latihan KKP sepanjang tahun lepas apabila 98 peratus iaitu 5,441 daripada 5,552 kursus yang dirancang berjaya dilaksanakan, melibatkan 113,021 peserta.
Bagaimanapun, beliau mahu Niosh mencapai sasaran lebih 100 peratus dalam pelaksanaan kursus dan jumlah peserta pada tahun-tahun seterusnya.- Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/komitmen-keselamatan-pekerja-pelaburan-jangka-panjang-1.732259
- Hits: 1572