NIOSH komited tingkat tahap keselamatan, kesihatan pekerjaan
BINTULU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) muncul antara organisasi kesihatan dan keselamatan profesional terbesar di dunia dengan memiliki 47,000 keahlian di 130 negara.
Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dengan jumlah keahlian yang bertambah dari semasa ke semasa, ia memperlihatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan dalam sektor pekerjaan semakin meningkat.
“NIOSH komited membantu meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini melalui kerjasama dengan organisasi tempatan dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penghargaan NIOSH Sarawak 2018, di sini, malam tadi.
Lam Thye berkata, kerjasama itu akan membantu NIOSH merealisasikan matlamatnya menjadi pusat kecemerlangan kesihatan dan keselamatan pekerjaan yang pastinya turut memberi manfaat kepada Sarawak.
“NIOSH turut menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (IOSH) yang berpangkalan di United Kingdom pada Persidangan Tahunan Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong baru-baru ini.
“Melalui MoC itu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan profesionalisme ke tahap yang lebih tinggi dan berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai amalan terbaik, selain isu berkaitan, termasuk kemalangan dalam perjalanan serta bekerja di tempat tinggi dan ruang tertutup,” katanya.
Beliau menjelaskan kerjasama itu juga akan memberi manfaat kepada Sarawak kerana NIOSH akan turut menjemput pakar IOSH menyertai program di negeri ini pada masa depan.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/509387/niosh-komited-tingkat-tahap-keselamatan-kesihatan-pekerjaan
- Hits: 987