Adalah tepat pada masanya untuk Kementerian Kesihatan mengkaji semula dasar sedia ada dan melihat pelbagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di semua hospital yang boleh menjejaskan kakitangan dan petugas mereka.
Ini akan membolehkan kementerian mengenal pasti kelemahan dan mencari penyelesaian KKP untuk semua kecederaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan di hospital awam dan swasta.
Saya dimaklumkan antara isu KKP yang perlu ditangani adalah kurang kesedaran dan minat untuk belajar dan menjadikan amalan KKP yang baik sebagai budaya di tempat kerja.
Sebahagian daripada ahli Jawatankuasa KKP juga tidak benar-benar memahami peranan mereka sementara segelintir kakitangan langsung tidak tahu dasar KKP organisasi mereka.
Terdapat juga kes di mana kakitangan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk keperluan memakai peralatan perlindungan diri yang sesuai (PPE), sementara kecederaan akibat tercucuk jarum masih dilaporkan dalam kalangan kakitangan perubatan.
Semasa melancarkan Sambutan Hari KKP Sedunia di Hospital Pakar KPJ Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini, saya telah menegaskan tentang pentingnya amalan KKP yang baik dan kemalangan perjalanan dalam kalangan kakitangan hospital.
Bekerja di hospital amat berbahaya dan mengikut statistik Biro Buruh Amerika Syarikat, kemungkinan kecederaan atau penyakit lebih tinggi di hospital berbanding sektor pembinaan dan pembuatan.
Di Amerika Syarikat contohnya, hospital-hospital di negara itu mencatatkan 253,700 kecederaan dan penyakit berkaitan dengan pekerjaan pada tahun 2011.
Ia menunjukkan 6.8 kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan dilaporkan untuk setiap 100 pekerja sepenuh masa, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding industri swasta secara keseluruhannya.
Kita perlu menerima hakikat bahawa hospital mempunyai bahaya serius terutama ketika kakitangan mengangkat dan menggerakkan pesakit.
Mereka juga terdedah kepada tusukan jarum, tergelincir dan jatuh selain berpotensi diserang pesakit atau pelawat yang agresif.
Kecederaan dan penyakit melibatkan kos yang tinggi kerana pihak hospital perlu membayar pampasan dan kos perubatan apabila pekerja cedera ketika bekerja. Kos semakin tinggi manakala imej hospital akan tercalar jika terdapat kes maut.
Keselamatan di tempat kerja akan turut memberi kesan kepada pesakit kerana para petugas yang keletihan, sakit atau tertekan mempunyai risiko lebih tinggi untuk melakukan kesilapan memberi ubat selain menyebabkan jangkitan kepada pesakit.
Hospital juga perlu meningkatkan kesedaran mengenai kemalangan perjalanan kerana dalam tempoh 2014 hingga 2016, sebanyak 554 kes direkodkan melibatkan pelbagai kategori kakitangan kesihatan yang berkhidmat di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
Dilaporkan jururawat mencatatkan bilangan kemalangan tertinggi melibatkan 295 kes, diikuti oleh pembantu penjagaan kesihatan (91), kategori pekerjaan lain (52), pembantu pegawai perubatan (35), pemandu (31) dan pembantu penyediaan makanan (15).
Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama untuk mengurangkan kecederaan, penyakit dan kematian yang disebabkan oleh kemalangan tempat kerja dan kemalangan perjalanan kerana mereka ia akan mengurangkan produktiviti dan semangat bekerja dalam organisasi.
Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/pekerja-hospital-terdedah-risiko-keselamatan-1.927121