Abai KKP: Majikan dikenakan 2,446 tindakan punitif
ALOR GAJAH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka mengeluarkan 2,446 tindakan punitif terhadap majikan di negeri ini bermula awal tahun hingga pada Jun lalu.
Pengarah JKKP negeri, Rabaayah Daud, berkata daripada keseluruhan tindakan punitif terhadap majikan itu, pihaknya mengeluarkan 1,424 surat arahan; notis (999); kompaun (sembilan); dan tindakan pendakwaan (14).
Jelas beliau, ia merangkumi pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.
“Sembilan kompaun yang dikenakan terhadap majikan itu membabitkan RM12,000 manakala 14 tindakan pendakwaan pula sebanyak RM108,200 kerana pelanggaran perundangan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“JKKP sentiasa serius dan komited menguatkuasakan perundangan KKP. Jika terdapat pelanggaran perundangan, tindakan punitif akan diambil seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Peringkat Negeri Melaka sempena program Minggu Bebas Kemalangan Di Tempat Kerja (WAFEW) di Hotel A’Famosa Resort di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rabaayah berkata setiap premis perniagaan patut membuat prosedur Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi memastikan prosedur KKP dipatuhi.
“Daripada 5,095 tempat kerja yang berdaftar dengan JKKP, 75 peratus mencapai skor C hingga A yang memenuhi standard audit HIRARC manakala baki 25 peratus lagi hanya mencapai gred minimum bagi prosedur audit berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, Rabaayah berkata program kali kedua itu berjaya menarik penyertaan 51 tempat kerja yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan termasuk perkilangan, pembinaan, kemudahan dan sektor awam di sekitar negeri ini.
Dalam pada itu, katanya, JKKP turut berjaya menarik penyertaan 12,000 majikan dan pekerja di seluruh negeri ini untuk menjayakan program WAFEW di setiap premis pekerjaan yang berlangsung selama seminggu dari 7 hingga 13 Julai lalu.
“Program WAFEW ini adalah satu konsep baharu yang digunakan JKKP ke arah pengurangan kadar kemalangan dan maut di tempat kerja,” katanya.
- Hits: 920