Prasarana dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, selaras dengan usaha itu, Pusat Kecemerlangan Prasarana (Pace) bakal menjadi pemacu dalam memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam pengangkutan awam.
Ketua Pace, Abdul Rahim Musa berkata, melalui MoU ini, Prasarana dan NIOSH akan berusaha meningkatkan aktiviti kesedaran tentang pentingnya elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pengangkutan awam.
"Demi melaksanakan misi ini, Prasarana akan menyumbang kepakaran yang diperlukan melalui Pace bagi membangunkan program-program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam industri pengangkutan awam.
"Pace yakin MoU ini adalah satu langkah yang tepat kerana ini akan memberi ruang dan peluang kepada Prasarana memainkan peranan yang lebih signifikan dalam membantu pihak berkuasa dan pembuat dasar,” katanya.
Jelasnya, Prasarana dan NIOSH bersetuju dalam tempoh tiga tahun ini untuk bekerjasama dalam bidang latihan dan penyediaan perkhidmatan pakar runding keselamatan dan kesihatan pekerjaan selain berkolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan bidang tersebut.
"Pace dan juga NIOSH juga bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran seminar, persidangan dan bengkel yang sesuai kepada orang ramai dan juga untuk institusi serta organisasi yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata, serentak dengan pemeteraian memorandum berkenaan, Pace dan NIOSH dengan jayanya menganjurkan Seminar Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pengangkutan Awam dan Komersial (Jalan Raya) di Pusat Latihan NIOSH, Bangi selama dua hari pada 7 lalu. - UTUSAN ONLINE