Budaya Mencegah Kemalangan Elak Penjawat Awam Hilang Pekerjaan: Cuepacs
KOTA KINABALU: Penjawat awam di negara ini perlu mengambil serius saranan kerajaan agar mengamalkan `budaya mencegah’ itu lebih baik bagi menjamin aspek keselamatan dan kesihatan mereka di tempat kerja dapat ditingkatkan.
Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), budaya pencegahan kemalangan semasa bekerja atau di tempat kerja adalah tanggungjawab penting untuk mengurangkan risiko berlakunya insiden tidak diingini dalam kalangan penjawat awam.
“Amalan gaya hidup sihat ini akan memberikan satu gaya hidup baharu kepada kita untuk memastikan bukan sahaja pekerja awam tetapi juga keluarga mereka lebih selamat dengan mengamalkan budaya pencegahan.
“Maknanya kalau kita sayangkan keluarga kita, haruslah kita mengamalkan budaya hidup selamat dan sihat semasa dan di tempat kerja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam peringkat zon Sabah dan Labuan, di sini hari ini.
Seminar anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Labuan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Azih berkata budaya pencegahan itu telah pun dillaksanakan di sebanyak 24 agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai satu dasar dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengekang tekanan di tempat kerja.
Tambah beliau pekerja yang tidak dapat mengawal tekanan dan menjaga kesihatan akan mengakibatkan kemurungan sekaligus membawa kepada kehidupan tidak normal dan bahagia.
Katanya perkara itu bukan sahaja akan menyebabkan Indeks Prestasi Utama (KPI) penjawat awam menurun dan berisiko kehilangan pekerjaan, malah pencapaian agensi atau jabatan terlibat juga menerima kesannya apabila mengalami penurunan prestasi.
Sehubungan itu katanya Cuepacs menyeru kesemua kakitangan awam agar mengambil perhatian terhadap perkara itu untuk menjamin keyakinan masyarakat terhadap kerajaan serta profesionalism penjawat awam hari ini. – SabahNewsToday https://www.sabahnewstoday.com/budaya-mencegah-kemalangan-elak-penjawat-awam-hilang-pekerjaan-cuepacs/
- Hits: 1278