NIOSH Bantu Industri Perkemas Budaya Selamat, Sihat Di Tempat Kerja
BANGI: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) NIOSH menyusun pelbagai program, kursus, rundingan dan penyelidikan bagi membantu industri memperkemaskan budaya selamat dan sihat di tempat kerja.
Pengerusinya, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata inisiatif itu selaras dengan tema Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2022, iaitu 'Mari bertindak bersama untuk membina budaya keselamatan dan kesihatan yang positif'.
Bagi sambutan kali ini, NIOSH berjaya menganjurkannya secara fizikal hari ini, selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik awal bulan ini.
"Sambutan pada 28 April setiap tahun ini bagi mengenang kembali pekerja yang menjadi mangsa kemalangan dan penyakit di tempat kerja, selain bertujuan mempromosi budaya pencegahan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.
"Malaysia adalah salah satu negara yang menganggotai Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jadi kita tidak lepaskan peluang untuk bersama-sama raikan sambutan ini sejak 2006 lagi," katanya pada Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022, di sini hari ini.
Di peringkat tempat kerja, beliau berkata, budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang kukuh ialah budaya di mana hak untuk mendapatkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dihargai dan digalakkan oleh pihak pengurusan dan pekerja.
"Budaya KKP yang positif dan kukuh dibina bukan hanya di bawah tanggungjawab majikan, malah atas penyertaan semua pihak termasuk pekerja itu sendiri," katanya.
Katanya, pekerja perlu berasa selesa untuk mengemukakan kebimbangan tentang kemungkinan risiko atau bahaya di tempat kerja dan pihak majikan pula proaktif mencari jalan penyelesaian yang sesuai, berkesan dan mampan.
"Komunikasi dan dialog terbuka yang dibina atas dasar kepercayaan dan saling menghormati diperlukan antara dua pihak," katanya.
Ugak berkata, sasaran pengurangan kadar kemalangan, kematian dan penyakit di tempat kerja dapat dicapai melalui program-program berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Berdasarkan laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), setakat Mac 2022, sebanyak 1703 kes kemalangan pekerjaan mengikut sektor dilaporkan dengan sektor pengilangan mencatat jumlah tertinggi 1,122 kes.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/950445/niosh-bantu-industri-perkemas-budaya-selamat-sihat-di-tempat-kerja
- Hits: 623