SYOR GARIS PANDUAN KESIHATAN MENTAL DI TEMPAT KERJA
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa supaya diperkenalkan segera garis panduan bagi meningkatkan kesihatan mental di tempat kerja.
Beliau berkata, garis panduan itu bertujuan mengurangkan jumlah pekerja yang mungkin mengalami kerisauan, kemurungan dan tekanan mental akibat bebanan tugas.
"Garis panduan itu boleh menjamin kebahagiaan dan kebajikan pekerja serta keluarga mereka melalui inisiatif untuk memupuk kesihatan mental di tempat kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah eksekutif dan pekerja yang mengalami kerisauan, kemurungan atau tekanan mental mungkin meningkat akibat tugas dan kedaaan yang terdapat di tempat kerja.
"Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya kerajaan mempercepatkan pengenalan garis panduan mengenai promosi penjagaan kesihatan ini supaya langkah-langkah asas dapat diguna pakai dan dilaksanakan majikan di tempat kerja," katanya.
Lee juga mencadangkan kepada majikan supaya menggunakan khidmat jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk memeriksa dan mengenal pasti kesihatan mental pekerja serta meningkatkan amalan penjagaan kesihatan mental.
Beliau berkata, majikan perlu mengambil kira masalah kesihatan mental tertentu, privasi individu setiap pekerja dan menggubal satu program asas mengenai kebajikan mental pekerja.
Selain itu, Lee meminta kerajaan menyediakan lebih banyak manfaat seperti perlindungan insurans untuk mereka yang mengalami sakit mental, memberi pengecualian cukai pendapatan kepada ibu bapa atau saudara mara yang perlu menjaga mereka yang mengalami sakit mental.
- BERNAMA
- Hits: 1706