Majikan, pihak industri digesa miliki pasport keselamatan - Sivakumar
KUALA LUMPUR: Majikan dan pihak industri yang masih belum melaksanakan Program Pasport Keselamatan diminta berusaha ke arah mendapatkan pasport berkenaan sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata ia penting kerana pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 memberikan penekanan terhadap prinsip pencegahan oleh pihak majikan.
Beliau berkata, buat masa ini kementeriannya tidak bercadang untuk mewajibkan penggunaan pasport berkenaan, namun menggalakkan majikan dan pihak industri memilikinya.
"Saya benar-benar berharap agar pihak NIOSH dapat membuat hebahan (mengenainya), ramai lagi majikan yang tidak mengetahui mengenai kewujudan pasport ini (Pasport Keselamatan)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Pasport Keselamatan NIOSH, di sini, hari ini.
Berdasarkan kajian NIOSH, beliau berkata, majikan didapati bersetuju bahawa Program Pasport Keselamatan ini memenuhi objektifnya dalam memberi kesedaran kepada pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.
Mengulas sama ada pasport berkenaan perlu dimiliki oleh penjawat awam, beliau berkata ketika ini fokusnya adalah untuk diberikan kepada kontraktor-kontraktor swasta dan kerajaan sahaja.
Sementara itu, Sivakumar berkata, NIOSH bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) akan membangunkan modul Pasport Keselamatan untuk industri kreatif dan media.
"Perkara berkenaan sedang dalam perbincangan dan akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Program Pasport Keselamatan NIOSH mula diperkenalkan pada tahun 2000 sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Terdahulu, 15 rakan strategik menerima sijil dan trofi sebagai tanda penghargaan dalam menjayakan usaha NIOSH bagi memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat industri antaranya Petronas, Shell Malaysia, Petron, Air Selangor, Astro serta Nestle. – BERNAMA
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1073735/majikan-pihak-industri-digesa-miliki-pasport-keselamatan-sivakumar?utm_source=bh&utm_medium=disyorkananda
- Hits: 318