Menggalakkan Tenaga Kerja Sihat di Malaysia

BH PERKESO

Ketua Eksekutif PERKESO, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

PADA awal Mei tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa COVID-19 tidak lagi dianggap sebagai ancaman kesihatan awam.

Walau bagaimanapun, pandemik tersebut telah menyedarkan kita dan meninggalkan kenangan pahit buat kita: sistem penjagaan kesihatan kita mudah terdedah kepada krisis dan ianya membawa implikasi teruk ke atas keseluruhan ekonomi negara.

Kini, cabaran kesihatan awam yang berleluasa seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk bekerja kekal sebagai ancaman berterusan terhadap produktiviti dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa tiga NCD yang lazim – kanser, penyakit kardiovaskular dan diabetes – telah mengakibatkan kerugian kepada ekonomi negara, yang dianggarkan mencecah RM12.88 bilion.

Jumlah ini yang dianggarkan kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, bukan sahaja disebabkan oleh bil perubatan tetapi juga tempoh tidak bekerja kerana penyakit, penurunan produktiviti, persaraan awal dan kematian pramatang dalam kalangan tenaga kerja negara.

Selain kerugian dari segi ekonomi, NCD turut mengancam kemampanan dana keselamatan sosial di negara ini.

Sejak tahun 2013, kami mendapati bahawa lebih 40 peratus daripada jumlah pencen ilat dan 42.4 peratus daripada jumlah pencen penakat yang dibayar adalah disebabkan oleh kes NCD.

Pada tahun lepas, lebih daripada 23,174 kes ilat dan kes kematian akibat NCD telah dilaporkan kepada PERKESO, di mana secara purata, setiap hari kira-kira 63 orang pekerja dilaporkan tidak mampu bekerja lagi ataupun meninggal dunia akibat NCD.

Memandangkan NCD juga menyebabkan keadaan morbid yang kronik di kalangan pekerja seperti kegagalan buah pinggang peringkat akhir, penyakit serebrovaskular, dan kehilangan anggota badan, PERKESO ada menyediakan kemudahan pemulihan dan dialisis untuk menggalakkan pekerja kembali bekerja.

Walau bagaimanapun, komitmen tahunan untuk kemudahan dialisis sahaja telah meningkat lebih 300 kali ganda daripada hanya RM1.1 juta pada tahun 1999 apabila PERKESO memperkenalkan kemudahan tersebut, kepada kira-kira RM342 juta pada tahun 2022.

Jumlah ini amat membimbangkan kerana ia turut diiringi dengan peningkatan bilangan isi rumah yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat penyakit yang dialami atau kehilangan pencari nafkah utama keluarga.

Di Malaysia, mereka yang tidak dilindungi oleh mana-mana jaringan perlindungan sosial adalah lebih terdedah untuk jatuh ke dalam kancah kemiskinan akibat NCD.

Oleh itu, saya secara peribadi percaya bahawa pelaburan dalam kesihatan pekerja dapat memberi kesan positif jangka panjang ke arah melindungi ekonomi, seterusnya menggalakkan tenaga buruh yang produktif.

Memandangkan banyak NCD boleh dicegah melalui pengurusan kesihatan yang lebih baik, saya telah menggerakkan PERKESO untuk mengambil langkah proaktif dalam mengawal NCD di kalangan pekerja.

Pada tahun 2013, PERKESO telah melancarkan program 'flagship' iaitu Program Saringan Kesihatan untuk menggalakkan kesedaran tentang kesihatan dan memulakan intervensi awal jika diperlukan.

Sehingga kini, lebih 600,000 pekerja telah disaring. Analisa PERKESO dalam tahun 2022 mendapati lebih daripada 42% pekerja yang disaring mempunyai masalah berat badan, 14.1% menghidap diabetes, 27.91% menghidap tekanan darah tinggi, dan 61.2% mempunyai paras kolesterol tinggi.

Melihat kepada trend yang signifikan ini, PERKESO akan meningkatkan pelaburannya dalam aspek promosi kesihatan, termasuklah bekerjasama dengan kerajaan bagi menyokong gaya hidup sihat dan mengubah minda pekerja ke arah pencegahan untuk kesejahteraan mereka.

Bertitik tolak daripada itu, PERKESO memperkenalkan Vision Zero untuk membimbing majikan dalam menetapkan pendekatan berbeza terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja mereka di tempat kerja.

PERKESO juga aktif menyertai program promosi kesihatan di tempat kerja, termasuk menganjurkan Activ@Work Challenge pada setiap tahun. Usaha-usaha ini bertujuan untuk meningkatkan aktiviti fizikal di kalangan pekerja melalui majikan mereka.

Tahun ini, saya amat gembira kerana PERKESO akan memperkenalkan semula dan menambah baik Program Saringan Kesihatan (HSP 3.0) di bawah Belanjawan 2023.

Saya tidak sabar untuk melihat semua pekerja merebut peluang yang amat berharga ini untuk menilai tahap kesihatan mereka dan meningkatkan penglibatan dalam program-program yang bertujuan mencegah NCD.

Untuk memerangi penyakit kronik ini daripada melumpuhkan ekonomi dan kesejahteraan negara, rakyat Malaysia perlu lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka, di samping mengambil pendirian pencegahan yang lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Marilah kita sama-sama ingat bahawa perkara utama yang COVID-19 telah mengajar kita dalam menghadapi pandemik adalah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1108563/menggalakkan-tenaga-kerja-sihat-di-malaysia

 

 

  • Hits: 270

Kampus INDUK


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)
Universiti Sains Malaysia,
11800 Pulau Pinang


No Tel : 04-6534078 
No Fax : 04-6534405 
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kampus kejuruteraan


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)
Universiti Sains Malaysia, 14300 Nibong Tebal SPS, Pulau Pinang

No Tel : 04-5995523
No Fax : 04-5942569
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kampus kesihatan


Unit Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (UKKP)

Pejabat Pengarah Kampus, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

No Tel : 09-7671016

No Fax : 09-7671017
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Pautan Luar


skmm jkjr sirim uem enviro perkeso

tenaga lpta nuklear niosh cidb 

mkn B OMBA BIO jpam MBKKP

All Rights Reserved UKKP Universiti Sains Malaysia © 2024  |  icon admin