MAJIKAN PERLU UTAMAKAN ASPEK KESELAMATAN PEKERJA
KANGAR: Majikan perlu mengutamakan persekitaran kerja yang kondusif serta menyediakan infrastruktur yang mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja. Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Ir Dr Johari Basri, berkata kemalangan di tempat kerja bukan saja membawa implikasi dan imej yang buruk kepada organisasi tetapi juga kepada negara yang menanggung kos yang besar untuk merawat mangsa kemalangan. Berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat negeri Perlis di sini, hari ini, beliau berkata selain kos rawatan, sektor industi akan kehilangan tenaga pekerja jika berlaku kemalangan manakala pampasan kepada keluarga juga perlu dikeluarkan selain kemungkinan menghadapi tindakan saman. Johari berkata, berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 61,552 kemalangan di tempat kerja dilaporkan berlaku pada tahun 2012, meningkat 2.76 peratus berbanding tahun 2011 membabitkan 59,897 kemalangan. “Bagi tempoh suku pertama tahun ini sebanyak 8,343 kemalangan dilaporkan termasuk 2,161 dari sektor pembuatan dan pengilangan,” katanya pada seminar anjuran bersama Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri. Johari berkata, selain modal insan, penggunaan mesin dan proses kerja yang canggih dan berteknologi tinggi perlu diberikan perhatian khusus oleh majikan kerana ia secara langsung akan merubah cara dan corak bekerja yang mendedahkan mereka kepada risiko pekerjaan yang baru. "Oleh itu program latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja IKS dalam aspek teknikal mahupun berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan amatlah perlu bagi mengelakkan kejadian kemalangan dan pendedahan kepada penyakit pekerjaan," katanya. Sebanyak 130 majikan dan pekerja daripada IKS seluruh Perlis menyertai seminar selama dua hari itu yang bertujuan antara lain untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online
- Hits: 2605