PERKESO TANGGUNG PAMPASAN RM1.549B TAHUN LEPAS
PERKESO TANGGUNG PAMPASAN RM1.549B TAHUN LEPAS
LABIS 25 Jan. 2011 – Bayaran tuntutan pampasan akibat kemalangan di seluruh negara yang terpaksa ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lepas, telah meningkat kepada RM1.549 bilion, 19.1 peratus lebih tinggi daripada 2009 iaitu sebanyak RM1.3 bilion. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, jumlah tersebut menunjukkan masih ramai pekerja khususnya di sektor perladangan dan perindustrian tidak mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan mereka, di sebalik pelbagai kempen yang dijalankan oleh kementerian. "Di Johor misalnya, laporan audit yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia di 103 ladang di sini mendapati, tiada ladang yang mencapai tahap cemerlang, 10 ladang (9.7 peratus) berada di tahap baik, 38 ladang (36.9 peratus) di tahap sederhana, 37 ladang (35.9 peratus) di tahap kurang baik dan 18 ladang (17.5 peratus) berada di tahap lemah. "Secara keseluruhannya, hasil audit menunjukkan tahap pematuhan keselamatan di sektor perladangan masih kurang memuaskan di mana tiada ladang pun mencapai tahap cemerlang dan tidak semua ladang mematuhi ketiga-tiga aspek penting dalam sistem pengurusan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Peningkatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Ladang Sungai Labis, di sini hari ini. Maznah berkata, kementerian melalui agensi berkaitan seperti Perkeso, JKPP, Jabatan Tenaga Kerja dan Majlis Negara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) telah berusaha untuk memperhebatkan lagi kempen di kilang-kilang dan premis majikan untuk mengurangkan kadar kemalangan. – Bernama SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1471