MAJIKAN PERLU TINGKAT PENGURUSAN KESELAMATAN
MAJIKAN PERLU TINGKAT PENGURUSAN KESELAMATAN
PUTRAJAYA 21 Dis. 2010 - Para majikan diminta meningkatkan tahap pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua sektor bagi mengelakkan negara kehilangan modal insan berkemahiran tinggi yang telah dihasilkan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan segala inisiatif dan program transformasi ekonomi kerajaan termasuk mengisi 3.3 juta peluang pekerjaan di kalangan tenaga kerja mahir menjelang 2020 tidak terjejas. Beliau berkata, ia juga bagi mengelak negara menanggung kos yang tinggi dengan menggunakan sumber terhad bagi memasti segala unjuran dapat dicapai dalam memacu ke arah negara maju berpendapatan tinggi. ''Adalah rugi jika kita kehilangan sebahagian besar modal insan yang dilaburkan akibat kemalangan di tempat kerja atau penyakit yang dihidapi oleh kerana pekerjaan. ''Jika ini berlaku, maka perbelanjaan dan usaha yang dilakukan untuk melahirkan tenaga kerja mahir menjadi sia-sia dan keadaan akan memaksa kita mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk melatih pekerja baru bagi memperolehi kemahiran yang sama dalam masa yang singkat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini. SUMBER: UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1130