KEMALANGAN MAUT DI TEMPAT KERJA SEMAKIN MENURUN
KEMALANGAN MAUT DI TEMPAT KERJA SEMAKIN MENURUN
MELAKA 16 Dis 2010. - Kes kemalangan di tempat kerja di negeri ini yang melibatkan kematian semakin menurun apabila sebanyak empat kes dicatatkan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, berbanding pada 2008 bagi tempoh yang sama, sebanyak enam kes kematian di tempat kerja dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP). Menurutnya, penurunan kes terbabit adalah hasil daripada Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan yang dianjurkan setiap tahun telah memberi kesedaran kepada majikan terhadap pentingnya aspek keselamatan dititikberatkan di tempat kerja. ''Sepanjang tempoh empat tahun dari 2007 hingga tahun ini, sebanyak 13 kes kematian telah dilaporkan berlaku dan jumlah ini adalah yang terendah berbanding beberapa negeri lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam merasmikan Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Hotel Equatorial, di sini hari ini. Seramai 200 peserta menghadiri seminar sehari itu yang turut dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan, kontraktor, pekerja dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor. Mengulas lanjut Latiff berkata, sepanjang tempoh 2007 hingga Ogos lalu, sebanyak 772 kes kemalangan telah dilaporkan berlaku di negeri ini. Beliau berkata, bagi kategori tidak hilang upaya kerja sebanyak 730 kes dicatatkan sepanjang tempoh empat tahun manakala 29 kes pula bagi kategori hilang upaya kerja untuk tempoh yang sama. ''Secara keseluruhannya, kes kemalangan di tempat kerja masih pada tahap yang belum membimbangkan berdasarkan statistik yang dilaporkan dari 2007 hingga Ogos lalu," ujarnya. Katanya, itu membuktikan majikan terutama di sektor kilang telah memberikan tumpuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja mereka di tempat bekerja. Beliau menambah, jika majikan tidak memberi keutamaan aspek keselamatan di tempat kerja, kecelakaan, kemalangan dan musibah boleh menimpa seseorang tidak kira pekerja atau majikan. ''Saya minta syarikat, majikan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat untuk memainkan peranan bagi memastikan aspek-aspek keselamatan pekerja di tempat kerja terjamin," ujarnya. Sehubungan itu, katanya, seminar anjuran MBMB dengan tema 'Budaya Kerja Selamat dan Sihat - Transformasi Kesejahteraan' akan dapat mempromosikan budaya kerja selamat kepada semua kakitangan. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1128