KES KEBAKARAN MENINGKAT
KES KEBAKARAN MENINGKAT
BUKIT MERTAJAM 1 Dis. 2010 - Jumlah kebakaran di seluruh negara terus meningkat apabila 29,413 kes dilaporkan sepanjang tahun lepas, pertambahan hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, jumlah kerugian harta benda akibat kebakaran yang dicatatkan pada 2008 dan 2009 mencecah RM1 bilion. Menurutnya, jumlah kebakaran yang dicatatkan sehingga Oktober tahun ini pula sebanyak 26,342 kes dengan jumlah kerugian dianggarkan sudah melebihi RM600 juta. "Melihat kepada statistik ini, peningkatan yang dicatatkan memang ketara begitu jika dilihat daripada segi kerugian harta benda yang sudah mencecah RM1 bilion sejak 2008. "Walaupun jumlah harta benda yang kita selamatkan berjumlah RM10 bilion, tetapi nilai kerugian yang dicatatkan masih tinggi," katanya selepas merasmikan Pameran Kebombaan sempena Hari Inovasi dan Integriti JBPM di sini hari ini. Wan Mohd. Nor bagaimanapun berkata, jumlah kematian menurun kepada 76 orang tahun lalu, berbanding 88 orang pada 2008 . Beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan program-program bersifat komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamatan sama ada di pusat-pusat beli-belah, pejabat kerajaan serta premis-premis perniagaan. Jelasnya, langkah itu penting memandangkan kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian manusia serta sikap mengambil ringan aspek-aspek pencegahan dan keselamatan. Wan Mohd. Nor menambah, pihaknya juga sedang meningkatkan keupayaan pasukan-pasukan bomba sukarela di seluruh negara melalui penyediaan khidmat latihan dan peralatan terkini dalam usaha memantapkan lagi operasi kebombaan. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1254