DOSH TUMPU TAPAK PEMBINAAN PADA 2011
DOSH TUMPU TAPAK PEMBINAAN PADA 2011
SEPANG 24 Nov. 2010 - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan meningkatkan pemeriksaan di tapak-tapak pembinaan dan mengambil tindakan lebih keras untuk mengurangkan kes kemalangan melibatkan sektor tersebut. Langkah itu selari dengan beberapa projek pembinaan penting yang dijangka dilaksanakan di sekitar ibu negara pada 2011 termasuk Greater KL, Transit Aliran Massa (MRT) dan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD). Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pekerja binaan merupakan salah satu golongan yang mencatat kadar kematian tertinggi disebabkan persekitaran kerja yang kotor dan berbahaya. "Kita mesti berusaha menukar keadaan tapak pembinaan supaya pekerja boleh bekerja tanpa rasa takut. "Ia juga boleh menukar pekerjaan dalam bidang ini kepada satu kerjaya yang menarik, sama ada untuk pekerja tempatan atau pekerja asing," katanya dalam ucapan perasmian program keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pengurusan projek. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah DOSH, Datuk Ir. Dr. Johari Basri di Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA, di sini hari ini. Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang mewakili negara-negara Asia Tenggara dan Sri Lanka mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak-tapak pembinaan. Dalam pada itu, Johari berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kelemahan yang berlaku pada tapak pembinaan melalui pemeriksaan yang dilakukan dari semasa ke semasa. "Para majikan harus menambah baik persekitaran kerja dengan menyediakan peruntukan, latihan dan pemantauan yang sewajarnya dan tidak hanya mematuhi peraturan minimum yang ditetapkan kerajaan," katanya. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1091