JAWATANKUASA BASMI KEMALANGAN PEKERJA DIBENTUK
JAWATANKUASA BASMI KEMALANGAN PEKERJA DIBENTUK
KUALA LUMPUR 28 Okt. 2010 - Kementerian Sumber Manusia hari ini membentuk satu jawatankuasa yang akan bertindak mengumpul data dan melaksanakan pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pekerja. Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, ini kerana bilangan kemalangan di tempat kerja termasuk kemalangan ketika berulang-alik dari dan ke tempat kerja menyaksikan peningkatan saban tahun. Menurut beliau, jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Datuk Ir. Dr. Johari Basri itu berperanan mencari kaedah terbaik agar kemalangan melibatkan pekerja dapat dikurangkan. ''Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta agensi keselamatan lain. ''Mereka akan mengenal pasti profil serta trend kemalangan untuk melaksanakan pelbagai program bersesuaian kepada kumpulan sasar. ''Segala maklumat berkenaan kemalangan itu dijangka dapat dikumpulkan pertengahan bulan depan dan program pencegahan secara serius akan dilaksanakan sekitar Januari ini,'' katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini hari ini. Maznah memberitahu, jumlah keseluruhan kemalangan membabitkan pekerja yang dilaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyaksikan peningkatan kepada 38 peratus tahun lalu. Jelasnya, untuk tahun ini iaitu dari Januari hingga September, jumlah tersebut terus meningkat sebanyak 9.3 peratus. ''Bagi statistik kemalangan perjalanan ketika berulang-alik dari dan ke tempat kerja untuk 2008 dan 2009, sektor perkilangan berada di tangga teratas. ''Dari 6,063 kes yang dicatatkan pada 2008, ia meningkat kepada 6,146 kes tahun lalu. Tahun ini sahaja, jumlah kemalangan dalam sektor terbabit mencatat 4,503 kes,'' katanya. Tambahnya, ia diikuti sektor perkhidmatan awam, perdagangan, pembinaan serta pengangkutan yang mana jika dilihat mengikut kumpulan umur, ia banyak melibatkan golongan yang berusia 40 tahun ke bawah. ''Usia sedemikian boleh diklasifikasikan sebagai usia produktif dan jika berlaku kemalangan, ia akan merugikan banyak pihak,'' kata beliau. Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kadar kemalangan di tempat kerja sehingga September lalu mencatatkan angka 27,541 kes. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
- Hits: 1369