JAYA SUPERMARKET RUNTUH: PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA
JAYA SUPERMARKET RUNTUH: PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA
PETALING JAYA 27 Sept. - Selepas dua syarikat pembinaan didakwa berhubung kes runtuhan bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini yang meragut tujuh pekerja, hari ini seorang pengarah syarikat terbabit berhadapan dengan tuduhan yang sama. Yap Choon Wai, 54, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal memastikan keselamatan ketika kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut di Jalan Semangat dilakukan pada pukul 5 petang, 28 Mei tahun lalu. Tertuduh yang merupakan pengarah Syarikat Pembinaan CW Yap Sdn. Bhd. (CWP) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz. Mengikut pertuduhan, Choon Wai sebagai pengarah dan majikan telah gagal memastikan bahawa orang lain yang bukan pekerjanya di bangunan itu tidak terdedah kepada risiko dari segi keselamatan dan kesihatan ketika kerja-kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket dilakukan. Dia didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aida Farihan Mohd. Nawi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Beliau juga memohon pertuduhan yang dihadapi oleh Choon Wai dibicarakan bersama kes terhadap dua syarikat pembinaan terbabit kerana ia melibatkan lokasi, waktu dan tarikh yang sama. Peguam bela, Goh Keng Tat yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan mustahil anak guamnya akan melarikan diri kerana dia masih bekerja di syarikat itu dan projek berkenaan masih berjalan. Hayatul Akmal kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 Oktober ini. Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes terhadap tertuduh dan dua syarikat terbabit dibicarakan bersama. Pada Selasa lalu, Syarikat Lian Hup Earth & Contruction Sdn. Bhd. (LHEC) dan CWP didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan pekerja-pekerja ketika kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut. Kejadian struktur bangunan runtuh telah berlaku di bekas tapak Jaya Supermarket yang mengandungi bangunan pejabat sembilan tingkat dan kompleks membeli-belah setinggi empat tingkat. Kemalangan itu telah mengakibatkan bahagian empat tingkat bangunan Jaya Supermarket dengan tempat letak kereta di tingkat bawah tanah runtuh sepenuhnya dan mengorbankan tujuh nyawa manakala tiga orang lagi cedera. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 28 September 2010
- Hits: 1502