PEMADAM API HANYA HIASAN
PEMADAM API HANYA HIASAN
KUALA LUMPUR 13 Jan. 2010 - Sekadar melepas batuk di tangga. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan sikap sebilangan besar pemilik premis di ibu negara mengenai keperluan memiliki dan memastikan alat pemadam api berfungsi dengan sempurna. Kebanyakan pemilik premis terbabit hanya mematuhi syarat memiliki alat pemadam api mudah alih kerana bimbang dikenakan tindakan. Sama ada alat tersebut diselenggara mengikut jadual dan diletakkan di tempat yang betul tidak diambil peduli oleh kebanyakan mereka. Lebih parah, ada pemilik premis yang langsung tidak menghiraukan sama ada alat tersebut masih berfungsi atau sudah rosak. Tinjauan di beberapa restoran di ibu kota mendapati, pekerja-pekerja premis tersebut langsung tidak mempunyai pengetahuan bagaimana mahu menjaga peralatan tersebut dengan cermat. Mereka meletakkan tabung alat pemadam api itu di merata tempat termasuk di atas simen atau dalam stor yang berkunci. Ada juga restoran yang menjadi tabung alat pemadam api itu penyendal pintu dapur bagi memudahkan petugas menghantar makanan kepada pelanggan. Terdapat juga pemilik premis yang memasang alat keselamatan kebakaran berhampiran dengan sumber api atau bersebelahan dapur memasak. Mereka juga lalai untuk mengisi semula tabung alat keselamatan kebakaran tersebut apabila sudah digunakan. Seorang pekerja yang berketurunan Thai yang mahu dikenali sebagai Yee , 32, yang ditemui di sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini mengakui tidak mengetahui cara menggunakan alat pemadam api tersebut. "Jika ada kebakaran kecil di dapur saya hanya menggunakan air sahaja. Lebih cepat dan mudah. Walaupun ada alat tersebut saya tidak tahu menggunakannya,'' kata beliau yang sudah tiga tahun bekerja di restoran tersebut. Seorang pemilik restoran masakan Melayu, Zaila Sharif , 44, mengakui tidak pernah menghantar tabung keselamatan kebakaran untuk pemeriksaan bomba kerana tidak mempunyai masa terluang. "Kesibukan mengendalikan urusan perniagaan menyebabkan saya lupa untuk mematuhi peraturan tersebut. "Setakat ini belum kebakaran besar berlaku di restoran saya. Kalau ada cuma kecil sahaja yang boleh dipadamkan sendiri.'' katanya yang sudah lima tahun berniaga.
- Hits: 1738